Nama Tempatan : Pegaga
Nama Saitifik : Centella Asiatica /
Hydrocotyle Asiatica
Nama Lain : Tapak Kuda ( Indonesia),Indian
Pennywort, Gotu Kola
Famili : Apiaceae / Umbelliferae
FAKTA SEJARAH
Mengikut ceritanya, pokok pegaga ini dimakan pada awalnya oleh penduduk India setelah melihat gajah yang terkenal dengan umurnya yang panjang didapati selalu mengunyah tumbuhan ini. Jadi ia dimakan pada asalnya untuk memanjangkan umur.Tapi kini ia diambil sebagai ulam dan jus kerana rasa dan baunya yang menambahkan selera. Selain dimakan mentah sebagai ulam pegaga juga boleh dimasak lemak dan dijadikan kerabu.
KETERANGAN
Pegaga atau nama saintifiknya Centella Asiatica / Hydocotyle Asiatica ialah sejenis ulaman popular orang melayu.Tumbuhan menjalar yang tumbuh pada tanah yang agak lembab ini pada asalnya dimakan sebagai ulam untuk menambahkan selera makan kerana daunnya yang wangi. Nama lainnya ialah tapak kuda (Indonesia),Indian Pennywort, Gotu Kola.Ia dikatakan berasal dari India tetapi begitu mudah didapati tumbuh liar dinegara-negara ASEAN.Ia mudah tumbuh dikawasan tanah yang subur, agak lembab dan bersaliran baik. Ia membiak melalui pecahan anak.
Di Malaysia, pegaga amat popular di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi kaum Melayu, ia di makan secara segar sebagai ulam, bagi kaum Cina digunakan sebagai minuman penyejuk badan, manakala bagi kaum India, digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.
KHASIAT PEGAGA
Tumbuhan seperti pegaga mempunyai pelbagai keunikan untuk meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk di kalangan kanak-kanak kurang upaya.
Profesor di Fakulti Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed menyifatkan tumbuhan herba yang lazimnya dijadikan ulam-ulaman itu membantu meningkatkan keupayaan dari segi pengawalan saraf di kalangan kanak-kanak terbabit.Hal ini kerana pegaga mempunyai kesan pelalian pada saraf. Bagi mereka yang mahu meningkatkan daya ingatan, pegaga antara pilihan herba yang baik berdasarkan hasil kajian dijalankan UPM kira-kira dua tahun lalu.
Kajian menunjukkan di kalangan lelaki dan wanita lingkungan usia 35 hingga 55 tahun itu mendapati pegaga bukan saja berupaya meningkatkan ingatan malah mengurangkan paras glukos dan kolesterol. Bagi lelaki pula, Prof Suhaila mengakui ia didapati dapat meningkatkan tenaga seksual.
Di pelosok dunia lain, penggunaan pegaga atau secara saintifiknya dikenali sebagai centella asiatica turut tersenarai dalam dunia perubatan herba ayurveda dan tradisional Cina. Perubatan ayurveda menyifatkan tumbuhan herba ini sebagai tonik otak, antara lain bagi membantu meningkatkan daya ingatan, usia panjang dan mengekalkan keremajaan.
Dalam perubatan berkenaan, seluruh bahagian pegaga dianggap sesuai untuk membantu meningkatkan daya ingatan. Di kalangan masyarakat India, tumbuhan berkenaan dipercayai membantu mengatasi pelbagai masalah lain seperti sakit kepala, sakit badan, asma, ulser serta menyembuhkan luka.
Perubatan tradisional Cina pula memanfaatkan pegaga untuk membantu mengatasi masalah keletihan secara fizikal dan mental. Dalam pelbagai kajian lain, pegaga memiliki pelbagai kegunaan untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk pembentukan kolagen, membolehkan seseorang tidur lebih lena, merangsang selera makan serta membantu dari segi rawatan pernafasan, reproduktif, saraf, antiradang dan meningkatkan pengaliran darah.
Dalam penyelidikan yang menggunakan tikus sebagai sampel, didapati tikus yang diberi makan pegaga lebih aktif dan tubuh haiwan itu kurang lemak manakala organ dalaman tikus itu juga lebih sihat berbanding tikus yang tak diberi makan pegaga, jenis pegaga yang agak popular ialah pegaga gajah dan pegaga kampung dikategorikan di bawah spesies centella asiatica.
Pegaga juga boleh membangkitkan selera makan, membantu meredakan masalah penghadaman, mengatasi masalah buasir kerana mengandungi serat. Ia juga mampu melancarkan aliran darah, terutama bagi wanita yang ada masalah haid. Pegaga juga dijadikan ubat untuk merawat masalah keputihan yang menyebabkan faraj terasa gatal.
Air perahan daun pegaga juga dikatakan boleh menyejukkan badan dan elok diamalkan jika demam, mengalami masalah berak berdarah atau lelah. Amalan minum air rebusan akar pegaga ini dipercayai boleh membantu mengawal paras gula dalam darah di kalangan pesakit kencing manis. Malah, ada yang menjadikannya sebagai minuman untuk menguruskan badan.
Selain itu, pegaga juga telah lama digunakan sebagai tonik untuk membersihkan darah, merawat ulser, sifilis, dan kelenjar limfa. Amalan meminum jus pegaga amat mujarab untuk membantu mereka yang bermasalah untuk tidur, merawat kerengsaan kulit dan tekanan darah tinggi. Walaupun pegaga amat baik dimakan mentah tetapi daun yang diramas dengan sedikit air amat baik jika disapukan pada kudis dan luka.
Di samping itu, pegaga juga memberi kesan kepada beberapa peringkat pembentukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolagen, merangsang pembentukan rambut dan kuku. Pegaga juga dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka, ulser dan masalah kulit lain. Oleh itu tidak hairan jika ia dijadikan makanan wajib bagi wanita berpantang supaya luka bersalin lebih cepat sembuh.
Mengamalkan meminum jus pegaga dapat meningkatkan daya ingatan seseorang, disamping dipercayai boleh meningkatkan kebaikan prestasi kanak-kanak yang mengalami kecacatan akal.
Dewasa ini produk yang berasaskan pegaga telah di gunakan dengan meluas dalam industri kecantikan sebagai anti selulit, anti kedutan (anti wrinkle), untuk mata dan muka, menambah ketegangan kulit dan meningkatkan pembentukan kulit yang baru.
Pegaga yang turut dikomersialkan masa kini antaranya dalam bentuk sabun namun ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk barangan lain termasuk barangan kosmetik memandangkan keupayaan pegaga serupa seperti vitamin C.
Lebih elok jika mengambil pegaga mentah atau segar tetapi lantaran kesuntukan waktu kini, tak salah jika ia dikomersialkan kerana penggunaannya mungkin lebih mudah.